Sejarah Kami
Koperasi Kampung Jawi Johor Bahru Berhad telah didaftarkan pada 01hb Jun 1972 dengan nama Syarikat Kerjasama Serbaguna Kampung Jawi di bawah Ordinan Syarikat Kerjasama 1948. Ia ditubuhkan bagi penempatan beramai-ramai (Group Settlement Area (GSA)) tanah Ban Foo. Pada ketika itu, tanah asal dipenuhi oleh pokok jejawi, maka peserta tanah Ban Foo telah bersepakat untuk meletakkan nama kampung ini sebagai Kampung Jawi bersempena dengan pokok jejawi yang banyak terdapat di sekitar kampung tersebut.
Aktiviti utama pada masa itu adalah tanaman getah. Pada tahun 1984/85, kerajaan telah mengambil tanah Ban Foo untuk dijadikan projek empangan air dan telah mengurniakan tanah di Lot PTD 5444, Mukim Paloh, Kahang bagi menggantikan tanah yang diambil.
Pada 03hb September 2001, nama Koperasi ini telah ditukarkan kepada Koperasi Serbaguna Kampung Jawi Berhad (KSKJB) melalui Akta Koperasi 1993 dan berdaftar dengan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dengan nombor pendaftaran yang sama kerana pada ketika itu koperasi yang berasaskan perladangan diletakkan di bawah LPP manakala Koperasi yang berasaskan perikanan diletakkan di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Pada 25hb Ogos 2008, sekali lagi Koperasi ini bertukar nama kepada Koperasi Kampung Jawi Johor Bahru Berhad (KKJJBB) dan berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan nombor pendaftaran 4583. Tetapi pada September 2012, kerana berlakunya kesilapan teknikal maka nombor pendaftaran Koperasi ini ditukar kepada 4733. Nombor pendaftaran dan nama Koperasi ini kekal sehingga ke hari ini.
Koperasi ini telah dianggotai oleh 194 anggota yang terdiri daripada 173 orang Melayu, 1 orang Cina, 12 orang India dan 8 orang India Muslim.
Pada tahun 2017, Koperasi Kampung Jawi Johor Bahru Berhad telah memilih nama singkatan KOJAWI.